loader image

Autoriti Informasi Wanita

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Rambut gugur ini merupakan antara salah satu masalah normal bagi setiap wanita lagi-lagi bagi individu yang bertudung. Rambut diibaratkan seperti mahkota bagi wanita. Oleh itu, masalah keguguran rambut ini akan membuatkan seseorang wanita merasakan dirinya seakan tidak lengkap. Ramai yang sanggup mengeluarkan wang dengan jumlah yang besar semata-mata untuk membeli produk syampu yang mahal, tonik rambut dan membuat rawatan di salon akan tetapi masalah ini tetap tidak dapat diselesaikan.

Jadi, hari ini saya akan kongsikan petua semulajadi untuk anda mengatasi masalah keguguran rambut sebelum anda menjadi botak tanpa anda sedari. Petua-petua yang akan dikongsikan ini adalah dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi dan ianya telah diamalkan sejak dahulu lagi. Ianya bukan hanya didapati berkesan malah cukup menjimatkan.

Bawang Besar, Madu & Pati Minyak Lavender

Pertama sekali, anda boleh mencuba menggunakan bawang besar, madu dan pati minyak lavender ini. Bawang besar terkandung sulfur yang berfungsi untuk membaiki peredaran darah di kulit kepala serta merangsang akar rambut untuk menggalakkan pertumbuhan anak rambut yang banyak.

Madu pula dapat menyuburkan rambut dan menjadikan rambut licin dan berkilat. Pati minyak lavender pula berfungsi untuk mengurangkan bau tengik bawang yang melekat di rambut. Sekiranya anda tidak menyukai bau pati minyak lavender, anda boleh menggunakan pati minyak lain yang anda inginkan.

Caranya, ambil suku biji bawang besar, cincang sehingga ianya halus dan berair. Kemudian, masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan satu sudu madu ke dalam mangkuk berisi bawang tadi dan titiskan 3 titik minyak pati lavender. Kacau sehingga sebati. Sapukan ke kulit kepala dan rambut anda sehingga rata, biarkan selama 30 minit, kemudian basuh sehingga bersih. Lakukannya setiap malam untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan.

Santan Kelapa

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Santan kelapa juga dapat meningkatkan pertumbuhan rambut. Ini kerana, santan kelapa mengandungi vitamin E dan minyak esensial yang mampu untuk meningkatkan kesuburan dan pertumbuhan rambut. Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu beli sepeket kecil santan kelapa segar. Sapukan ke rambut dan kulit kepala anda dengan rata kemudian balut kepala anda dengan tuala. Perap selama 30 minit. Amalkannya tiga kali seminggu untuk mengatasi masalah rambut gugur.

Minyak Zaitun

Masalah rambut gugur dan putus adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi penting dalam pertumbuhan rambut yang sihat. Selain vitamin E, minyak zaitun mempunyai biotin, niacin dan vitamin D yang sangat penting untuk penjagaan rambut serta meningkatkan kekuatan rambut. Nutrisi-nutrisi ini akan membantu rambut tumbuh dengan subur dan terhalang daripada keguguran yang sangat ketara.

Sifat antibakteria di dalam minyak zaitun memberikan kesan terbaik untuk kesihatan rambut. Rambut menjadi botak berkemungkinan kerana faktor genetik ataupun juga faktor bahan kimia. Penggunaan bahan kimia yang keterlaluan boleh menyebabkan rambut gugur. Akan tetapi, minyak zaitun boleh membantu masalah ini seterusnya menggalakkan anak rambut baru.

Caranya, ambil beberapa titis minyak zaitun, sapukan ke kulit kepala dan urut seketika. Lakukannya dengan konsisten untuk mengatasi masalah keguguran rambut.

Daun Bunga Raya

Mesti ramai yang tidak tahu tentang kelebihan daun bunga raya ini. Daun bunga raya dapat membantu menangani masalah keguguran rambut dan kulit kepala. Ini kerana, kandungan lendir dalam tumbuhan ini dapat mengembalikan kelembapan kulit kepala. Daun bunga raya mempunyai sifat astringen semulajadi, antiradang dan juga mampu untuk memerangkap radikal bebas serta bersifat perencatan enzim.

Ambil sepuluh helai daun bunga raya dan masukkan daun tadi ke dalam besen bersama air. Ramas daun tadi sehingga ianya menjadi kehijauan. Kemudian, basuh kepala dengan air ramasan tadi dan biarkannya seketika sebelum dibilas dengan air sehingga bersih.

Lidah Buaya

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Selain untuk mencantikkan kulit, lidah buaya juga didapati berkesan untuk mengatasi masalah keguguran rambut. Bukan itu sahaja, lidah buaya ini juga sangat elok untuk kulit muka. Estrak lidah buaya mempunyai beberapa enzim yang dapat membantu mengurangkan sel-sel kulit mati dari kulit kepala seterusnya menggalakkan pertumbuhan rambut. Caranya, ambil gel lidah buaya dan ratakan ke kulit kepala. Biarkannya selama 30 minit dan basuh sehingga bersih.

Minyak Rambut Zam-Zam

Minyak rambut zam-zam ini mempunyai bau yang boleh tahan kuat. Namun, ianya sangat berkesan untuk merawat masalah rambut gugur dan menguatkan akar rambut anda. Selain itu, rambut anda akan menjadi lebih hitam berkilat dan lebat. Anda hanya perlu menggunakan minyak rambut zam-zam ini setiap kali selepas mandi. Sapukannya di kulit kepala anda dan juga rambut anda.

Minyak Argan

Minyak argan sememangnya berkesan untuk mengatasi masalah rambut gugur. Ini kerana, ianya mengandungi vitamin dan mineral yang sangat elok untuk kesihatan kulit seperti vitamin E, vitamin B-kompleks, tembaga, zink, selenium, iodin dan juga chrome. Sapukan dari akar rambut sehingga ke hujung. Gunakannya dua kali sehari untuk dapatkan hasil yang lebih berkesan.

Minyak Kelapa

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Khasiat minyak kelapa sememangnya tiada tandingannya. Minyak kelapa dapat membantu merawat masalah rambut gugur dan juga masalah kelemumur. Caranya, sapu minyak kelapa pada kulit kepala anda sehingga rambut. Pastikan seluruh akar rambut anda terkena minyak kelapa. Amalkannya secara rutin untuk mengurangkan masalah rambut gugur dan kelemumur. Rambut anda juga akan menjadi lebih kuat dan menjadikan proses pertumbuhan rambut menjadi lebih cepat.

Daun Inai

Daun inai ini kebiasaannya digunakan untuk mewarnakan uban bagi rakyat Malaysia. Tetapi, tahukah anda, daun ini ini sebenarnya berfungsi untuk mengatasi masalah keguguran dan dalam masa yang sama juga dapat mampu menyuburkan kulit kepala supaya rambut tidak mudah gugur.

Caranya, tumbuk daun inai sehingga halus kemudian sapukannya ke kulit kepala dan rambut anda. Gunakan shower cap untuk memerapnya dan biarkannya selama satu hingga tiga jam. Seterunya, basih sehingga bersih. Amalkannya sekali seminggu untuk mendapatkan kesannya.

Yogurt

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Nutrisi yang terdapat dalam yogurt sangat elok untuk kulit kepala dan rambut. Yogurt merupakan sumber vitamin A yang baik. Ianya dapat membantu meningkatkan produksi sebum sehingga mencegah rambut gugur dan masalah kebotakan dengan cara semulajadi. Beli yogurt asli dan sapukan keseluruhan kepala dan rambut. Balut dengan tuala dan biarkan selama 30 minit. Kemudian, basuhnya sehingga bersih.

Air Garam

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Air garam boleh melembutkan rambut dan juga membersihkan kulit kepala. Oleh itu, ianya sangat elok bagi mengurangkan rambut gugur dan masalah kelemumur. Air garam boleh menyebabkan liang-iang di kulit kepala tertutup rapat dan sekaligus akan menghalang dari berlakunya keguguran rambut.

Setelah anda syampu rambut anda, letakkan sejumlah garam yang bersesuaian dengan ketebalan dan kepanjangan rambut anda di dalam besen. Rendam rambut anda selama 3 ke 5 minit. Urut kepala anda dengan lembut dan perlahan supaya air garam itu meresap ke dalam kulit kepala anda. Kemudian, bilas rambut anda. Lakukannya secara rutin sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Masker Tanah Liat

Tanah liat bukan sahaja dapat membantu mencantikkan kulit muka, malah ianya dapat membantu mengatasi masalah keguguran rambut. Kaolin yang terdapat dalam tanah liat dapat melegakan kelemumur dan mencegah kaguguran rambut yang berlebihan dan mempercepatkan pertumbuhan rambut. Selain itu, ia juga mampu melembapkan kulit kepala dan menjadikan struktur rambut kembali bersinar dan lembut.

Untuk meningkatkan pertumbuhan rambut, campurkan 50g serbuk tanah liat dengan 100ml air mineral. Kacau sehingga sebati kemudian sapu dan gosokkan di kulit kepala anda. Biarkannya selama 25 minit dan bilas sehingga bersih.

Telur

13 Petua Semulajadi Untuk Atasi Masalah Rambut Gugur

Akhir sekali, anda boleh menggunakan telur untuk menyelesaikan masalah rambut gugur. Di dalam telur, terdapat banyak protein dan omega-3 yang amat diperlukan oleh rambut. Tambahan pula, telur juga merupakan sumber vitamin B yang dapat membantu mencegah rambut gugur dan merangsang pertumbuhan rambut.

Sapukan telur kuning pada rambut dan kulit kepala. Kemudian, urut kulit kepala 10 ke 15 minit. Setelah itu, basuh dengan menggunakan syampu agar ianya tidak meninggalkan bau hanyir pada rambut. Seeloknya, amalkan proses ini tiga ke empat kali seminggu.