loader image

Autoriti Informasi Wanita

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Jodoh merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap orang pasti mempunyai pasangannya sendiri. Tetapi, bagaimana kita ingin mengetahui bahawa dialah orang yang telah ditakdirkan untuk kita? Kita telah dikurniakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan akal untuk berfikir. Sekiranya ianya digunakan dengan betul, ia boleh membantu kita untuk mengetahui ciri ciri sudah bertemu jodoh yang sesuai.

Jodoh, rezeki dan kematian merupakan rahsia Allah SWT. Kadang-kadang jodoh yang dicari mungkin jauh ataupun orang yang terdekat dengan kita. Ini kerana, kita sebagai manusia memang tidak tahu akan bakal jodoh kita. Namun, terdapat beberapa ciri ciri sudah bertemu jodoh yang mungkin dapat membantu anda untuk mengetahuinya.

Bersederhana

Sekiranya si dia bersikap bersahaja, bersederhana dan tidak berlakon di depan anda, keluarga dan kawan-kawan anda, si dia berkemungkinan jodoh anda. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan dan cara makan dan minum. Adakah si dia bersikap spontan ataupun berkelakuan pelik dan nampak seperti mengawal perangai sebenar dia.

Sekiranya si dia nampak seperti kurang selesa dengan caranya, si dia mungkin sedang berlakon dengan anda dan tidak menunjukkan perangai dia yang sebenar. Jika si dia mengawal perwatakan sebenar dia di depan anda, si dia mungkin bukan jodoh yang sesuai dengan anda.

Senang Bersama

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Walaupun anda sering meluangkan masa bersama si dia, anda tidak pernah berasa jemu dan bosan ataupun tertekan dengan kehadirannya. Malah semakin hari semakin sayang kepadanya. Anda sering berasa tenang, seronok dan si dia sering membantu merawat kedukaan anda. Sekiranya dia juga merasainya dan rasa senang sekali ketika bersama, mungkin dia merupakan jodoh yang sesuai dengan anda.

Hal ini perlu ditekankan kerana kita inginkan komitmen penuh daripada si dia dan kita ingin hidup bersama untuk jangka masa yang lama dengan dia. Jadi, sekiranya anda berdua mempunyai perasaan yang sama, apa tunggu lagi?

Terima Anda Seadanya

Setiap orang mempunyai kisah hidup yang berbeza. Walau apapun kisah silam anda, baik atau buruk anda, dia tidak mempedulikannya dan masih menerima anda seadanya. Mungkin anda juga bersikap sedemikian terhadap dia yang membuatkan anda lebih tertarik dengannya. Masing-masing tidak mempedulikan kisah silam yang mungkin bagi sesetengah orang tidak berapa selesa akannya.

Walaupun dia mengetahui anda pernah mempunyai kekasih sebelum dia, yang pasti anda kini bersamanya. Dia juga bersedia berkongsi kisah hidup dia dan tidak menyimpan rahsia dengan anda apabila dia sudah bersedia untuk menjadi pasangan hidup anda.

Sentiasa Bersikap Jujur

Si dia tidak kisah dengan apa yang anda lakukan selagi ianya tidak melanggar hukum agama. Dia tidak terlalu mengongkong dan tidak mengehadkan apa yang anda ingin lakukan. Sikap jujur yang ditunjukkan itu membuatkan anda tertarik dengannya. Kejujuran ini penting dalam membina rumah tangga dan ianya bukan perkara yang boleh dilakonkan.

Apabila berjauhan pula, kejujuran menjadi faktor yang penting bagi sesuatu hubungan itu. Sekiranya dia tidak berlaku jujur, susah baginya untuk mengelak daripada berlaku curang dengan anda. Kejujuran yang disertakan dengan kesetiaan boleh menciptakan hubungan yang kukuh dan erat.

Saling Mempercayai

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Setiap orang pasti ada mempunyai rahsia yang tersendiri. Kadang-kala rahsia ini perlu dikongsi untuk mengurangkan beban masing-masing. Tetapi, selamatkah rahsia anda bersamanya dan sebaliknya? Sekiranya anda mempercayai satu sama lain, ianya tentu tidak menjadi masalah. Sekiranya ianya rahsia yang buruk, pasangan anda seharusnya menyimpan rahsia itu daripada dihebahkan kepada orang lain.

Sekiranya dia bertindak untuk memberitahu orang lain, ianya mungkin akan mengaibkan anda dan mungkin juga menjatuhkan air muka anda. Sekiranya dia berbuat sedemikian, bermakna dia seorang yang tidak boleh dipercayai. Bersediakah anda untuk hidup bersama orang seperti dia?

Senang Bekerjasama

Setiap orang inginkan hubungan yang kekal berpanjangan dan berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Anda dan si dia perlu saling bekerjasama untuk melalui hidup ini. Masing-masing perlu memberikan kerjasama dalam melakukan sesuatu perkara tidak kisahlah sama ada ianya perkara yang remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah dilakukan dengan ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing.

Yang paling penting, anda dan pasangan dapat melalui semua perkara bersama-sama. Dengan melakukan kerja bersama-sama anda juga mungkin akan lebih memahami pasangan anda dengan lebih mendalam lagi. Hal ini sangat penting kerana ianya akan mempengaruhi kehidupan anda berdua pada masa akan datang. Sekiranya tiada kerjasama antara anda dan pasangan, ianya mungkin akan menyusahkan rumah tangga anda nanti.

Menunjukkan Kelemahan Diri

Di dalam dunia ini, tiada sesiapa yang sempurna. Setiap orang mempunyai kelemahan dan keburukannya tersendiri. Tipulah sekiranya ada yang mengaku dia tidak mempunyai kelemahan langsung. Bagi dia yang bersedia untuk menjadi teman hidup anda, dia tidak malu sekiranya anda mengetahui tentang kelemahannya. Bukan mudah untuk memberitahu dan mengakui kelemahannya pada orang lain, malah dia tidak segan untuk menunjukkannya.

Contohnya, ketika dia sedang sakit, dia tidak menghalang anda daripada melawatnya. Ataupun sekiranya dia mengaku dia tidak reti memasak tetapi ingin memasak untuk anda. Jika anda dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, mungkin inilah ciri ciri sudah bertemu jodoh yang perlu anda tafsirkan.

Memahami Diri Anda

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Ciri ciri sudah bertemu jodoh yang sesuai dengan anda yang seterusnya adalah sekiranya pasangan anda memahami diri anda. Memahami di sini bermaksud, anda saling mengetahui apa yang diperlukan oleh pasangan anda pada ketika itu, dalam kata lain serasi antara satu sama lain. Sekiranya anda sakit, dia akan bawa anda ke klinik dan biarkan anda berehat tanpa membebankan anda dengan hal-hal lain.

Ataupun, ketika anda sedang sedih, dia yang menjadi penghibur dan mengalihkan perhatian anda daripada terus bersedih. Pasangan yang saling memahami antara satu sama lain lebih kekal lama kerana mereka sering bertolak ansur, memikirkan tentang perasaan pasangan dan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu perkara supaya tidak menyinggung perasaan pasangan mereka.

Ikut Kata Hati

Dengarlah kata hati anda dalam menentukan pasangan hidup anda. Kadang-kadang manusia dikurniakan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria keenam yang Allah SWT bagi ini mungkin akan membantu anda memahami pasangan anda dengan lebih dalam. Anda juga mungkin dapat membaca fikiran masing-masing dan dapat mengagak reaksi dan tindak balas dalam situasi tertentu.

Jika anda sudah yakin dengan pilihan anda, tanyalah semula, adakah dia ini ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati anda dan serahkan segalanya kepada Yang Maha Berkuasa.

Solat Istikharah Dan Tawakkal

Apa Ciri Ciri Sudah Bertemu Jodoh Yang Sesuai Dengan Anda?

Sesungguhnya jodoh dan pertemuan itu telah ditentukan oleh Allah SWT dan manusia ini hanya mampu merancang sahaja. Jadi, lakukanlah solat sunat istikharah dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan petunjuk. Insha Allah dengan izinNya, anda akan mendapat jawapan anda. Sekiranya dia pilihan anda, buatlah keputusan yang sebaiknya dan sekiranya tidak, tolaklah dia cara yang baik.

Segala yang anda lakukan ini adalah demi mendapatkan kebahagiaan di dunia. Setelah anda berusaha melakukannya, berserah dan tawakallah kepadaNya. Teruskan berdoa dan ingatlah nikmat di dunia ini hanyalah sementara sahaja sementara nikmat di akhirat adalah selamanya.

Terdapat banyak lagi tanda-tanda yang anda boleh ambil tahu sebelum anda mendirikan rumah tangga dengan pasangan anda. Ciri ciri sudah bertemu jodoh yang telah dikongsikan ini mungkin boleh menjadi panduan untuk anda yang masih keliru dengan pasangan anda.