preloder

Autoriti Informasi Wanita

Cara-cara Nak Beli Rumah Pada Tahun 2019

Cara-cara Nak Beli Rumah Pada Tahun 2019
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Cara-cara Nak Beli Rumah Pada Tahun 2019

Bagi mereka yang baru dan pertama kali ingin membeli rumah, anda pasti masih kabur, keliru dan serabut tentang cara beli rumah ini. Iyalah, bukan selalu orang membeli rumah lagi-lagi dalam usia muda ini. Kebanyakan anak muda ingin membeli rumah seawal ini adalah untuk kemudahan di hari akan datang dan menjadikan aset kehidupan mereka.

Ini kerana, kita tidak berapa pasti dengan harga pasaran rumah pada masa akan datang yang berkemungkinan akan bertambah tinggi lagi. Oleh itu, ramai yang ingin membeli rumah dengan cepat. Akan tetapi, kebanyakan anak muda tidak mempunyai wang simpanan yang cukup untuk membeli seunit rumah. Jadi, saya nak kongsikan bagaimana cara untuk anda membeli rumah saat ini tanpa memerlukan deposit ataupun modal.

Tetapi sebelum itu, saya nak betulkan sedikit tanggapan orang ramai yang selalu disalah anggap. Beli rumah tanpa deposit bukan bermakna tanpa wang. Anda masih memerlukan wang untuk membeli rumah, cuma tiada deposit diperlukan.

Selalunya, anda memerlukan duit tunai untuk membayar wang tandajadi iaitu 3.18% dari harga belian kebiasaannya. Ini merupakan sebagai cagaran yang pemilik akan letak dan bersetuju sekiranya anda mahu membelinya. Anda juga perlu membayar baki deposit kira-kira 6.82% apabila menandatangani perjanjian jual beli. Bukan semua pemilik ingin menunggu wang ini dari KWSP atau pinjaman 100%. Selain itu, anda juga perlu membayar peguam untuk fi mereka dan duti setem.

Setelah segala belian selesai, anda akan menerima semuala deposit yang telah ana bayar dari KWSP atau pinjaman 100%. Akan tetapi, anda tidak akan dapat balik jumlah yang anda bayar untuk kos guaman dan duti setem. Jadi, macam mana caranya untuk beli rumah tanpa memerlukan deposit atau modal ini? Jom teruskan baca sebab akan saya senaraikan cara-cara untuk anda beli rumah pada tahun 2019 ini.

Beli Rumah Belum Siap Daripada Pemaju

Salah satu caranya adalah dengan membeli rumah yang masih belum siap daripada pemaju. Ianya merupakan cara alternatif, sekiranya anda kekurangan tunai untuk membeli rumah. Terdapat pemaju yang menawarkan belian rumah dengan bayaran tempahan minimum tanpa memerlukan kos guaman dan memorandum of transfer (MOT).

Akan tetapi, majoriti pemaju sudah mengambil kira kesemuanya dalam harga jual. Pinjaman bank anda akan menjadi lebih tinggi untuk menampung membayar kos ini.

Guna Skim Rumah Pertamaku

Cara kedua adalah dengan menggunakan Skim Rumah Pertamaku yang kerajaan telah perkenalkan sejak tahun 2012. Skim Rumah Pertamaku ini diperkenalkan untuk membantu golongan muda membeli rumah pertama mereka. Kebanyakan bank di Malaysia turut menawarkan Skim Rumah Pertamaku ini.

Melalui skim ini, pemohon yang berjaya dan layak boleh mendapatkan margin pinjaman sehingga 100% dari harga belian anda. Kebiasaannya, kadar faedah yang ditawarkan adalah lebih tingi daripada pakej yang biasa iaitu sekitar 5% sehingga 5.5%.

Kelemahan skim ini adalah ianya tidak boleh menyerap yuran guaman, duti setem dan kos penilaian dalam pinjaman anda. Jadi, anda perlu membayar kos ini secara tunai. Oleh itu, saya nasihatkan supaya anda menyemak kelayakan anda terlebih dahulu di laman web sebelum anda memohon Skim Rumah Pertamaku ini.

Skim Perumahan Belia BSN

Cara seterusnya untuk anda mebeli rumah pada tahun ini adalah melalui Skim Perumahan Belia BSN. Bank Simpanan Nasional merupakan pelopor bagi Skim Perumahan Belia ini. Terdapat juga beberapa bank lain yang menawarkan skim yang lebih kurang sama dengan skim ini seperti Bank Rakyat, Bank Muamalat, Maybank, Bank Islam dan lain-lain lagi.

Skim Perumahan Belia BSN ini sama seperti Skim Rumah Pertamaku, skim ini juga menawarkan margin pinjaman sehingga 100% dari harga belian. Akan tetapi, kadar faedahnya juga agak tinggi iaitu sekitar 5% ke 5.5%. Skim ini juga tidak menyerap yuran guaman, duti setem dan kos penilaian. Jadi, apa keistimewaan anda memilih Skim Perumahan Belia ini?

Secara amnya, untuk 2 tahun pertama, Skim Perumahan Belia akan memberi subsidi ansuran bulan sebanyak RM200. Sebagai contoh, katakanlah bayaran bulanan anda adalah sebanyak RM700, maka anda hanya perlu membayar sebanyak RM500 sahaja untuk 2 tahun pertama. Selepas dua tahun, pembayaran bulanan anda akan kembali kepada Rm700 seperti asalnya.

Sekiranya anda tidak berapa faham, anda boleh rujuk cawangan atau web BSN untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai kelayakan anda.

Guna Teknik Mark-Up

Selain itu juga, anda boleh gunakan teknik mark-up di mana pembeli memanipulasi harga belian dengan tujuan untuk dapatkan wang tunai. Kebiasaannya pembeli menggunakan kaedah ini utnuk membayar deposit, yuran guaman dan kos duti setem. Terdapat juga pembeli yang culas dan malas untuk dapatkan wang tambahan.

Dalam kaedah mark-up ini, pembeli setuju membuat belian pada satu harga (harga asal) dan kemudian mengemukankan kepada bank harga yang lebih tinggi daripada harga asal apabila memohon pinjaman (harga mark-up). Di akhir proses pembelian, pembeli akan dapat tunai bersamaan perbezaan antara harga mark-up dan harga asal (ganda margin pembiayaan).

Akan tetapi, teknik ini adalah salah kerana anda mengemukakan maklumat yang tidak betul kepada pihak bank untuk mendapatkan wang tunai tambahan dan pihak bank telah melaksanakan prosedur yang akan menghalang teknik ini.

Teknik mark-up ini juga mempunyai banyak kelemahan antaranya adalah ansuran bulanan yang lebih tinggi dan mengurangkan kapasiti anda untuk mendapatkan pinjaman yang berikutnya. Selain itu, bayaran guaman adan duti setem juga akan menjadi lebih tinggi. Sekiranya penjual dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah, berkemungkinan mereka akan meminta pembeli membayat cukai untuk bahagian mark-up. Teknik mark-up ini juga menyebabkan pembeli mempunyai tabiat mengambil jalan mudah.

Seeloknya, elakkan daripada menggunakan kaedah ini. Sekiranya anda berdisiplin dalam menyimpan, anda juga boleh membeli rumah tanpa menggunakan cara ini. Sebagai alternatif, lebih baik sekiranya anda menggunakan Skim Rumah Pertamaku ataupun Skim Perumahan Belia.

Buat Pengeluaran KWSP

Cara yang terakhir sekali adalah dengan membuat pengeluaran KWSP untuk biayai kos deposit dan kos guaman. KWSP membolehkan anda mengeluarkan jumlah yang sama dengan perbezaan antara harga belian dan jumlah pinjaman, campur 10% tambahan tertakluk kepada baki tunai daam Akaun 2.

Contohnya, harga belian anda adalah RM100,000 dan pinjaman anda adalah RM90,000. Ini bermakna, anda boleh mengeluarkan RM10,000 (RM100,000 – RM90,000) dengan tambahan 10% daripada harga rumah sebanyak RM10,000. Jadi jumlah pengeluaran anda adalah sebanyak RM20,000. Akan tetapi, sekiranya anda menggunakan pakej pinjaman 100% seperti Skim Rumah Pertamaku, jumlah yang anda dapat hanyalah sebanyak 10% daripada harga belian.

Itulah dia beberapa cara untuk anda yang ingin beli rumah pada tahun ini. Walaupun anda tidak mempunyai wang simpanan yang banyak, cara-cara yang dikemukakan ini mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk menajdi pemilik rumah.