preloder

Autoriti Informasi Wanita

Hak Suami Dan Isteri Dalam Harta Sepencarian Selepas Cerai

Hak Suami Dan Isteri Dalam Harta Sepencarian Selepas Cerai
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Hak Suami Dan Isteri Dalam Harta Sepencarian Selepas Cerai

Kes perceraian pasangan suami isteri sudah menjadi seperti perkara normal sejak kebelakangan ini. Semakin hari semakin banyak isu cerai yang kita dengar. Perkahwinan merupakan satu usahasama antara suami dan isteri. Akan tetapi, terdapat rumah tangga yang dibina ditimpa masalah dan tidak berpanjangan. Masalah ini boleh terjadi akibat daripada pelbagai faktor sama ada faktor keadaan atau kesesuaian dalam menyempurnakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Apabila peceraian berlaku, tanggungjawab suami memberi nafkah tidak terputus serta-merta, begitu juga dengan hak isteri dalam mewarisi harta suami dan sebaliknya. Hak waris-mewarisi ini masih tidak terhenti dalam tempoh dan syarat yang ditentukan. Banyak perkara yang menjadi tanda tanya dalam soal hak harta sepencarian. Tambahan pula, terdapat salah faham masyarakat yang menekankan bahawa isteri secara automatik akan mendapat 50% harta tersebut.

Hal ini bergantung kepada jenis perceraian tersebut berlaku. Jadi, sebelum isu pembahagian harta sepencarian ini dikupas dengan lebih lanjut, anda perlu mengetahui dahulu jenis-jenis penceraian yang berlaku.

  1. Cerai Raj’ie – Suami lafaz talak satu atau dua. Suami masih boleh rujuk semula dengan isteri dalam tempoh iddah tanpa perlu akad dan mas kahwin yang baru.
  2. Cerai Ba’in – Talak yang tidak boleh dirujuk semula. Ia memerlukan kad dan mas kahwin yang baru sekiranya hendak berkahwin semula selepas tamat iddah. Cerai ba’in ini terbahagi kepada dua; iaitu:
  • Ba’in baynunah sughra (kecil) – Talak yang dilafazkan sebelum berlakunya persetubuhan, sama ada talak satu atau dua
  • Ba’in baynunah qubra (besar) – Cerai talak tiga. Suami tidak boleh rujuk semula kepada bekas isteri tersebut kecuali setelah isteri tersebut berkahwin dengan dengan lelaki lain.

Walaupun perkahwinan terputus di tengah jalan, Islam sebagai agama yang adil telah menetapkan hak-hak yang wajib dituntut atau diterima bagi mengimbangi kehidupan hamba-hambanya.

Hak Yang Boleh Dituntut Di Mahkamah Syariah Selepas Perceraian

Berikut merupakan hak-hak yang boleh dituntut. Ianya bergantung kepada jenis perceraian dan tempoh iddah yang tertentu.

  1. Nafkah Iddah
  2. Mut’ah
  3. Harta Sepencarian
  4. Hak Penjagaan Anak
  5. Nafkah Anak
  6. Tunggakan Nafkah
  7. Hak Tempat Tinggal

Umumnya, harta sepencarian pada asalnya diambil daripada adat resam Melayu yang telah diterimapakai oleh masyarakat setempat. Perspektif Islam menyatakan bahawa apabila sesuatu adat itu diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, akan tetapi telah menjadi suatu peraturan atau perundangan yang perlu diikuti dan dikuatkuasakan.

Berdasarkan Hukum Syarak, harta sepencarian ini ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang perkahwinan sama ada ianya membabitkan harta alih atau tidak alih dan pihak yang memberi sumbangan secara langsung ataupun tidak langsung. Ia menunjukkan harta yang diperoleh bersama sepanjang tempoh perkahwinan bukannya harta yang diperoleh oleh isteri sahaja ataupun harta yang diperoleh oleh suami sahaja.

Jadi, pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan Syarak terhadap hak, habuan dan juga pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Pembahagian ini dibuat berdasarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak. Tuntutan terhadap harta sepencarian ini bukan hanya terhad kepada isteri sahaja, malah suami juga berhak untuk menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Dari segi undang-undang, Seksyen 122(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa majkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh bersama sepanjang perkahwinan diabhagiakan antara mereka ataupun supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Manakala, Seksyen 122(2) merujuk kepada faktor-faktor yang diambilkira oleh mahkamah dalam pembahagian harta sepencarian tersebut. Antara perkara yang ambilkira oleh mahkamah adalah:

  • Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;
  • Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
  • Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 122(3). Manakala, seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Jadi, walaupun harta itu di atas nama pasangan sahaja, sekiranya anda berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa anda juga turut menyumbang terhadap harta tersebut, maka secara tidak langsung mahkamah akan memeutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah menekankan bahawa dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu. Ianya bukan hanya diambilkira berdasarkan nama harta itu didaftarkan semata-mata sedangkan pihak satu lagi berkemungkinan turut menyumbang walaupun namanya tiada dalam daftar hakmilik harta itu.

Namun begitu, Hukum Syarak telah menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu juga, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian.

Hadiah atau hibah yang diberikan kepada bekas isteri juga tidak dikira sebagai harta sepencarian. Ini bermakna suami atau isteri tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikan kepada bekas pasangan sebagai harta sepencarian.

Kadar pembahagian harta pula boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:

  1. Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri – Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
  2. Pembahagian sama rata – Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
  3. Pembahagian melebihi separuh (1/2)  kepada isteri – Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.

Sekiranya anda masih kurang jelas dengan penjelasan yang telah diberikan dan inginkan penjelasan yang lebih secure tentang soal hak harta sepencarian untuk pihak isteri mahupun suami, anda boleh ke https://1001masalah.com