loader image

Autoriti Informasi Wanita

Hibah Dan Prosedur Lengkap Langkah-Langkahnya

Hibah Dan Prosedur Lengkap Langkah-Langkahnya
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Hibah Dan Prosedur Lengkap Langkah-Langkahnya

Apa Itu Hibah?

Hibah dari segi bahasa membawa maksud pemberian. Ianya merangkumi hadiah dan juga sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai maksud yang hampir sama akan tetapi ianya sama sekali berbeza bergantung kepada tujuan pemberian itu. Sedekah merupakan suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan kebiasaannya ianya diberikan oleh yang kaya kepada yang miskin.

Manakala, hadiah pula merupakan pemberian untuk memuliakan seseorang dan selalunya ianya mempunyai hubungkait dengan sesuatu perkara. Secara rumusan, setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, namun, bukan semua hibah adalah sedekah dan hibah.

Hibah dari segi istilah syarak bermaksud suatu akad yang mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain semasa hidupnya tanpa balasan. Lebih spesifik lagi, hibah merupakan suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan semasa hidup secara sukarela, tidak mengharapkan pahala di akhirat ataupun memuliakan seseorang dan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpama dengannya.

Dari segi hukum pula, hibah merupakan suatu amalan sunat yang digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga yang terdekat. Amalan hibah ini adalah berdasarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak seperti yang terdapat di dalam Surah An-Nisaa’ ini.

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” dan “(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisaa’ : 11)

Rukun-Rukun Hibah

Terdapat empat rukun-rukun hibah yang perlu diketahui iaitu pemberi hibah (Al-Wahib), penerima hibah (Al-Mawhub Lahu), harta atau barang yang dihibahkan (Al-Mawhub) dan sighah (ijab dan qabul).

Pemberi Hibah (Al-Wahib) – Pemberi hibah hendaklah seorang yang sempurna akalnya, baligh dan tidak muflis. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang atau harta yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah ini boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuklah kepada orang yang bukan Islam asalkan ianya tidak melanggar hukum syarak.

Penerima Hibah (Al-Mawhub Lahu) – Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf ataupun bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan erti kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

Harta Atau Barang Yang Dihibahkan (Al-Mawhub) – Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlulah memenuhi syarat-syarat iaitu hendaklah harta atau barang yang halal. Ianya hendaklah sejenis barang atau harta yang mempunyai nilai di sisi syarak. Harta atau barang itu merupakan milik pemberi hibah. Ianya boleh diserah milikkan dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

Sighah (Ijab dan Qabul) – Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa maksud pemberian dan penerimaan hibah. Di antara contoh lafaz ijab secara terang adalah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau ” Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula adalah seperti “Aku terima”, “Aku redha” dan sebagainya.

Kenapa Anda Perlu Rancang Harta Anda?

Anda perlu merancang harta anda supaya harta yang anda tinggalkan tidak menjadi beku. Anda semestinya tidak mahu waris-waris anda bergaduh kerananya dan mempunyai waris yang makan harta batil. Selain itu, merancang harta anda ini lebih baik supaya harta yang anda cari setiap hari selama ini menjadi asbab waris anda bersatu, berkasih sayang dan pahala sentiasa mengalir setiap hari walaupun anda sudah di kubur dengan manfaat harta tersebut disedekahkan.

Terdapat beberapa sebab harta beku di Malaysia ini termasuklah, waris tidak tahu untuk menguruskan harta pusaka, waris tiada masa untuk menguruskan harta pusaka, menganggap harta pusaka tidak perlu disegerakan tiada muafakat waris dan jika ingin menguruskan dengan segera akan dianggap tamak. Terdapat juga masalah seperti tiada duit untuk menguruskan harta pusaka yang membuatkan harta menjadi beku.

Bagaimana Cara Mudah Untuk Rancang Harta Anda Dengan Membuat Dokumen?

Ketahui Faraid Anda – Anda perlu mengetahui faraid anda. Kenapa dalam dokumen anda perlu menyatakan faraid anda? Ini kerana, supaya anda dan waris anda tahu siapa waris mengikut hukum faraid. Hal ini juga adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya pergaduhan yang tidak perlu dengan waris yang bukan waris faraid. Contohnya, apabila berlaku kematian secara tiba-tiba terdapat waris yang mengaku beliau merupakan waris faraid, sedangkan mengikut syarak, beliau bukan waris faraid. Jadi, ketahui waris faraid anda terlebih dahulu kerana ianya merupakan perkara penting.

Lantik Wasi – Anda perlu buat wasiat pelantikan wasi. Wasi ini adalah panggilan lain bagi pentadbir. Wasi inilah yang akan melakukan tuntutan pusaka anda setelah anda tiada. Ianya sangat penting dalam perancangan harta pusaka. Wasi terbahagi kepada dua iaitu syarikat amanah dan individu. Sekiranya harta anda tidak melebihi 2 juta, lebih sesuai untuk anda melantik wasi individu sahaja. Jika lebih, barulah anda lantik syarikat amanah.

Lantikan wasi ini penting kerana ianya akan memberikan rasa tanggungjawab kepada waris. Jika tidak dilantik, anak-anak akan mengharapkan antara satu sama lain untuk menguruskan pusaka arwah dan akhirnya urusan tidak dijalankan. Sekiranya anda sudah melantik wasi, hal ini tidak akan dilengahkan dan wasi akan terus bertanggungjawab menguruskan pusaka arwah.

Tambahan pula, wasi yang dilantik sewaktu hidup akan diberi surat. Sekiranya anda tiada hari ini, waris boleh membuka surat dan menghubungi syarikat. Wakil syarikat akan datang ke rumah untuk memberi khutbah pusaka, mendapatkan persetujuan waris dan proses pusaka akan terus dibuat dengan segera.

Buat Wasiat Sedekah – Membuat wasiat sedekah ini sangat digalakkan untuk semua umat Islam. Ini kerana, inilah yang akan menjadi saham akhirat anda nanti. Harta yang anda miliki sekarang bukanlah milik anda sepenuhnya, tetapi harta yang disedekahkan itulah harta milik anda sebenarnya. Oleh itu, buatlah wasiat sedekah 1/3 daripada harta anda. Lebih baik anda wakafkan terus kerana ianya lebih elok dan pahala berterusan sehingga hari kebangkitan.

Dokumenkan Dengan Bantuan Pakar – Dokumenkan segala perancangan, wasiat dan hasrat anda dengan bantuan pakar. Elakkan daripada membuat pesanan mulut dan elakkan daripada membuatnya sendiri. Sebaik-baiknya, buatlah dokumen dengan mana-mana syarikat pengurusan pusaka supaya urusan akan menjadi lebih mudah.

Dana Pantas Untuk Waris – Bantu wasi dan waris dari segi kewangan dengan sistem penamaan. Apabila anda meninggal, semua aset anda akan dibekukan termasuklah duit dalam akaun dan sebagainya. Namun, terdapat beberapa instrumen yang tidak akan beku dan akan dipindahkan masuk dengan segera ke akaun penama dalam masa satu ke dua minggu. Dana pantas tersebut termasuklah:

  1. KWSP
  2. Penama Tabung Haji
  3. Penama Di Polisi Takaful

Dokumen Hibah – Sekiranya faraid anda termasuk dalam golongan kritikal, buatlah dokumen hibah untuk memudahkan urusan waris anda. Untuk membuat perancangan harta ini, anda perlu berjumpa dengan perunding harta syariah untuk membuat dokumen. Rancanglah secepat mungkin bagi memudahkan hal hari esok. Jadikan harta anda sebagai pelaburan pahala yang berkekalan saat anda sudah tiada nanti.

Golongan Kritikal Yang Memerlukan Perancangan Hibah

  1. Pasangan suami isteri yang memberli rumah secara bersama
  2. Pasangan yang mempunyao anak perempuan sahaja
  3. Pasangan yang mempunyai anak angkat
  4. Pasangan yang berkahwin tetapibelum dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama
  5. Golongan yang berpoligami
  6. Pasangan yang masih mempunyai ibu bapa
  7. Golongan yang sekian lama membujang
  8. Golongan yang mempunyai anak lelaki dan perempuan
  9. Pasangan yang mempunyai anak OKU
  10. Individu yang berkahwin semula selepas kematian pasangan
  11. Individu yang akan menunaikan ibadah Umrah dan Haji
  12. Ahli perniagaan

Kenapa Hibah Memudahkan Proses Pengurusan Harta Pusaka?

  1. Pemberian harta secara hibah sangat dianjurkan oleh Islam
  2. Pemberian harta secara hibah boleh memupuk perasaan kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturrahim
  3. Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja
  4. Kadar harta yang dihibahkan tiada had
  5. Pemanfaatan harta boleh dilakukan secara terus dan semaksium mungkin
  6. Pemberian harta secara hibah mengikut kesesuaian status penerima hibah
  7. Harta yang dihibahkanoleh ibu bapa (termasuk datuk dan nenek) kepada anak-anak boleh ditarik balik atau dibatalkan
  8. Pemberian harta secara hibah boleh dilakukan tanpa pindah milik harta dalam dokumen hakmilik (geran)

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah : 180)

Sekiranya berlaku kematian, terdapat beberapa perkara yang anda perlu lakukan. Pertama sekali, anda perlu mengetahui sama ada si mati ada meninggalkan wasiat ataupun tidak. Kemudian, kenalpasti waris faraid yang berhak ke atas harta si mati. Setelah mengenalpasti waris faraid si mati, pemaklum perlu mengemukakan dokumen penting semasa hadir ke pejabat JPN.

Dokumen-dokumen penting yang dimaksudkan termasuklah:

  • Salinan Daftar Kematian/ Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin.1/11) yang berwarna biru
  • Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri si mati yang asal
  • Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum (asal dan salinan)
  • Perakuan oleh Pengamal Perubatan mengenai sebab-sebab kematian yang asal [Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem)] sekiranya kematian berlaku di hospital