loader image

Autoriti Informasi Wanita

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Sejak dahulu lagi, amalan berpantang selepas bersalin telah dilakukan oleh masyarakat Malaysia tidak kira masyarakat Melayu, Cina, India dan sebagainya. Ianya dipercayai akan membantu wanita yang telah melahirkan anak menjaga keadaan tubuh badan mereka. Pelbagai makanan berpantang yang dikaitkan dengan ‘panas’, ‘sejuk’, ‘tajam’ dan dilarang untuk dimakan ketika berada dalam tempoh berpantang kerana ianya dikhuatiri akan mengganggu luka bersalin serta kesihatan dalaman.

Akan tetapi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menekankan dalam portal MyHealth bahawa setakat ini, tiada lagi bukti saintifik yang kukuh mengatakan bahawa makanan-makanan tertentu ini memberi kemudaratan kepada ibu selepas bersalin. Namun begitu, mungkin ada beberapa makanan yang perlu dielakkan oleh ibu semasa dalam tempoh berpantang. Amalan ini juga boleh dikatakan sebagai diet seimbang yang sememangnya baik untuk kesihatan si ibu.

Kunci utama dalam memilih makanan ketika berpantang adalah memilih makanan yang sihat untuk tubuh badan dan juga untuk bayi yang akan menyusu. Maka, ianya bergantung kepada kepercayaan ibu itu sama ada ingin mengikuti pantang-larang yang telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi ataupun tidak. Jadi, hari ini saya akan kongsikan makanan berpantang yang terbaik yang boleh diambil oleh ibu selepas bersalin.

Beras Perang

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Mesti ada ibu-ibu di luar sana yang terfikir untuk diet dan kuruskan badan selepas sahaja melahirkan bayi. Akan tetapi, anda perlu beringat bahawa tubuh badan anda belum cukup kuat dan sedang dalam proses pemulihan. Bayi anda juga memerlukan nutrisi yang berkualiti kerana menyusu badan daripada anda. Jadi, anda perlulah menjaga pemakanan anda supaya bayi mendapat nutrisi yang secukupnya.

Sekiranya anda tetap ingin melakukan diet juga, cuba anda menggantikan beras biasa dengan beras perang kerana ianya adalah antara cara yang tidak keterlaluan untuk anda berdiet, selain anda akan mendapatkan kalori yang baik. Ini kerana, beras perang merupakan sumber bijirin berserat tinggi yang juga bagus untuk penghadaman dan mengelakkan sembelit selepas bersalin.

Roti Berserat Tinggi

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Selain daripada memakan nasi sebagai hidangan utama makanan ketika berpantang, anda juga boleh mengamalkan mengambil roti berserat tinggi semasa sarapan atau makan pagi. Roti berserat tinggi ini diperbuat daripada gandum sepenuhnya dan ianya lebih menyenangkan dan sangat baik untuk pencernaan. Anda juga akan kenyang lebih lama sekiranya anda mengambil roti berserat tinggi ini.

Ini kerana, roti jenis ini dipercayai memiliki banyak kandungan nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh badan seperti protein, vitamin B, antioksida, zat besi, magnesium dan mineral lainnya. Selain itu, roti berserat tinggi ini juga mengandungi folic acid yang sangat penting untuk kesihatan tubuh badan.

Ikan Tenggiri, Salmon Dan Tuna

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Makanan berpantang seterusnya adalah makanan yang mengandungi protein. Komponen protein dalam sajian seharian ketika berpantang juga sangat penting untuk memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari. Maklumlah, untuk menjaga bayi dan menguruskan diri memerlukan tenaga yang banyak, lagi-lagi sekiranya anda berpantang sendiri.

Sebagai contoh, pengambilan ikan salmon bukan sahaja berkhasiat malah ianya turut terbukti dapat mengelakkan rosiko kemurungan selepas waktu bersalin atau dikenali sebagai postpartum depression. Selain itu juga, ikan tenggiri dan tuna merupakan pilihan yang bagus sebagai lauk makanan ketika berpantang kerana ia boleh memperbaiki fungsi otak dan membina sistem saraf bayi.

Buah-Buahan

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Jangan lupa untuk mengambil buah-buahan dengan warna yang terang seperti anggur, pisang, oren, betik dan sebagainya. Ini kerana buah-buahan warna ini sangat berkhasiat untuk ibu berpantang. Mungkin ada sesetengah yang mengganggap buah-buahan ini tidak sesuai dimakan ketika berpantang kerana ianya bersifat ‘sejuk’.

Tetapi, kesemua buah-buahan ini sebenarnya mengandungi serat dan sumber vitamin yang saat tinggi. Anda disyorkan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua hidangan buah-buahan setiap hari.

Sayur-Sayuran

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Sayuran hijau memang sudah tidak asing lagi untuk dijadikan makanan berpantang bagi para ibu selepas bersalin, malah untuk semua orang juga. Seperti buah-buahan, sayuran hijau seperti sawi hijau, bayam, kucai termasuklah ulam-ulaman seperti pegaga, daun cekur dan juga ulam raja patut dimasukkan ke dalam makanan harian anda.

Sayur-sayuran hijau ini bukan sahaja tinggi dengan antioksida, mineral serta vitamin, malah ianya juga turut memiliki sumber kalsium yang sangat elok untuk tubuh. Selain itu, pengambilan lobak putih dan peria boleh memperbanyakkan susu ibu. Peria juga dipercayai boleh memudahkan pembuangan air besar, membantu membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan.

Ulam-ulaman pula mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai jenis vitamin termasuklah vitamin A, C dan E. Ianya juga bersifat antioksidan. Di samping itu, pengambilan jantung pisang juga boleh memperbanyakkan susu ibu. Ulam kunyit boleh mengembalikan kecergasan badan dan menyembuhkan luka dalaman.

Kekacang Atau Kuaci

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Sekiranya sewaktu anda pantang dan anda teringin untuk makan snek, cuba makan makanan daripada sumber yang sihat seperti kekacang iaitu kacang badam, walnut, pistachio ataupun kuaci. Kesemua jenis kekacang ini sangat sihat dan elok kerana ianya dapat membantu menstabilkan tahap gula dalam darah.

Selain itu juga, kekacang ini boleh menyeimbangkan tindak balas elektrolit dalam tubuh selain daripada boleh meningkatkan kadar metabolisme dan juga fungsi tubuh serta otak.

Buah-Buahan Kering

Buah-buahan kering yang dimaksudkan adalah seperti buah kurma yang sudah tentunya sangat baik untuk ibu selepas bersalin. Khasiat buah kurma ini sendiri sudah terlalu banyak dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Amalkan pengambilan kurma ini untuk merangsang penghasilan susu badan selain daripada mendapatkan tenaga untuk tubuh.

Anda juga boleh memakan kismis, aprikot kering ataupun buah tin (figs) yang mempunyai khasiat lebih kurang seperti buah kurma. Kedua-dua kekacang dan buah-buahan kering ini sangat sesuai ditambahkan kepada bijirin atau oat yang dimakan ketika sarapan lagi.

Jamu Kunyit

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Walaupun anda bersemangat untuk mengembalikan badan anda kepada bentuk asal, jangan anda sesekali mengambil jamu mengikut suka hati anda. Ada sesetengah jamu tidak berapa sesuai diambil ketika berpantang. Sebaliknya, hanya ambil jamu kunyit kerana ianya akan memastikan anda sentiasa hangat dan mengelakkan daripada dimasuki angin.

Amalkan jamu kunyit ini untuk menyembuhkan luka bersalin dengan cepat. Selain daripada menghilangkan bau badan, jamu kunyit ini juga boleh meningkatkan pengaliran darah ke kulit sekaligus mengelakkan wajah daripada kelihatan pucat. Pengambilan jamu kunyit ini juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan membantu melancarkan proses penghadaman dengan mengurangkan angin dalam perut.

Banyakkan Minum Air Putih

Makanan Berpantang Yang Terbaik Selepas Bersalin

Akhir sekali, perbanyakkanlah minum air putih untuk mengelakkan diri anda daripada dehidrasi. Dengan meminum air kosong ini juga dapat merangsang penghasilan susu badan secara produktif. Jadi, ibu-ibu jangan takut untuk minum air putih ini kerana takut gemuk air. Kekurangannya boleh menjadi penyebab gangguan pelbagai fungsi fisiologi tubuh. Jangan pandang rendah akan kepentingan pengambilan air putih setiap hari.

Secara keseluruhannya, kunci utama pantang larang selepas bersalin adalah pengambilan makanan yang sihat dan seimbang. Setiap orang mempunyai ketahanan badan yang berbeza terhadap jenis makanan yang tertentu. Jadi, anda seeloknya memastikan makanan berpantang anda mempunyai sumber keperluan nutrisi yang secukupnya.

Jom Baca Tips Menarik Kami Yang Lain