loader image

Autoriti Informasi Wanita

Pengendalian Hak Harta Sepencarian Dalam Poligami

Pengendalian Hak Harta Sepencarian Dalam Poligami
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Pengendalian Hak Harta Sepencarian Dalam Poligami

Harta sepencarian merupakan harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan dan ianya berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama sepanjang tempoh perkahwinan. Tetapi, bagaimana pula pengendalian harta sepencarian dibahagikan dalam isu poligami?

Semua isteri berhak ke atas harta pusaka suaminya. Sebelum itu, isteri perlu ketahui sekiranya suami ada meninggalkan wasiat ataupun tidak. Wasiat ini sangat penting. Malah kedudukan wasiat dari hukum syarak ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud,

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.”

Surah An-Nisaa’ : 11

Hukum Faraid

Secara dasarnya, perundangan di Malaysia menggunakan hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka orang Islam. Jadi, mengikut ayat di atas, syarak mengenal pasti wasiat sebagai salah satu cara pembahagian harta dijalankan.

Walaupun dalam al-Quran tidak menjelaskan dan tidak menghadkan jumlah wasiat yang harus diberikan oleh orang Muslim, akan tetapi sistem perundangan Islam di Malaysia memperuntukkan had ke atas wasiat ini. Muslimin di Malaysia hanya dibenarkan mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya untuk wasiat dan penerima wasiat itu juga hendaklah bukan daripada kalangan waris.

Jadi, bagaimana pula faraid kepada isteri-isteri dan pewarisnya? Sekiranya si mati mempunyai anak;

  1. Ada 1 isteri, hak isteri ialah 1/8
  2. Ada 2 isteri, hak setiap isteri adalah 1/16
  3. Ada 3 isteri, hak setiap isteri adalah 1/24
  4. Ada 4 isteri, hak setiap isteri adalah 1/32

Sekiranya si mati tidak meninggalkan anak pula;

  1. Ada 1 isteri, hak isteri adalah 1/4
  2. Ada 2 isteri, hak setiap isteri adalah 1/8
  3. Ada 3 isteri, hak setiap isteri adalah 1/12
  4. Ada 4 isteri, hak setiap isteri adalah 1/16

Mengikut pembahagian harta pusaka tersebut, tidak kiralah sekiranya anda isteri pertama atau isteri kedua atau isteri ketiga mahupun isteri keempat, pembahagiannya tetap sama banyak. Jumlah tempoh berkhidmat kepada suami juga tidak dikira. Bahagian ini wajib diserahkan kepada isteri (kecuali jika dia menolak). Menafikan hak mereka adalah haram sama seperti menafikan hak waris faraid yang lain.

Harta Sepencarian

Namun begitu, isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian daripada pusaka suaminya. Isteri pertama juga boleh menuntut apabila suami ingin berpoligami. Harta sepencarian ini pelru dituntut dan ianya bukan diberi secara automatik kepada si isteri. Tuntutan boleh dibuat di Mahkamah Syariah dan pembahagian hak isteri akan ditentukan melalui perbicaraan berdasarkan sumbangan isteri terhadap harta tersebut. Proses menuntut harta ini terdapat kos yang perlu ditanggung.

Sekiranya isteri pertama berjaya mendapatkan perintah harta sepencarian dari Mahkamah Syariah, contohnya 1/2 dari harta pusaka suami, maka secara tidak langsung, bahagiannya lebih dari isteri-isteri lain iaitu dia akan dapat; 1/2 dari harta pusaka (berdasarkan perintah Mahkamah Syariah) + 1/32 (faraid isteri jika ada 4 isteri)

Hibah

Jika si suami benar-benar adil dan tidak mahu masalah harta pusaka timbul selepas kematiannya, maka si suami boleh menggunakan kaedah hibah. Hibah ialah bahasa mudahnya ialah pemberian yang dibuat semasa hidup dan diberikan sebagai tanda kasih sayang.

Sebagai contoh, si suami boleh menghibahkan rumahnya yang diduduki isteri pertama kepada isteri pertama, rumahnya yang diduduki isteri kedua kepada isteri kedua dan seterusnya. Rumah sememangnya antara isu besar yang kerap menjadi perbalahan dalam kalangan madu. Membuat hibah kepada isteri-isteri ini akan mengurangkan risiko perbalahan.

Setelah hibah disahkan oleh Mahkamah Syariah, setiap isteri akan mendapat bahagiannya; Isteri pertama akan mendapat hibah beserta harta sepencarian dan juga 1/32 faraid. Manakala, isteri kedua sehingga keempat akan mendapat hibah dan juga 1/32 faraid. Agihan ini sangat adil dan undang-undang syarak mempunyai penyelesaiannya bagi setiap maslahah yang timbul. Inilah risiko orang yang mengamalkan poligami lagi-lagi dalam bab pengurusan harta.

Sekiranya anda masih kurang jelas serta masih musykil akan pembahagian harta pusaka suami yang mengamalkan poligami dan inginkan penjelasan yang lebih secure tentang soal hak harta sepencarian untuk pihak isteri mahupun suami, anda bolehkemukakan pertanyaan di https://1001masalah.com