loader image

Autoriti Informasi Wanita

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Sakit datang bulan ataupun dikenali sebagai senggugut ini sememangnya sangat perit walaupun ianya tidaklah seperit bersalin. Sakit senggugut ini hanya akan dialami oleh kaum wanita sahaja kerana ianya berlaku ketika haid ataupun datang bulan (period).

Hanya wanita sahaja yang tahu betapa peritnya kesakitan senggugut ini. Kehadiran senggugut ini sering kali menjadi keluhan kerana ianya akan mengganggu aktiviti seharian anda. Ia juga boleh menjadi punca utama golongan wanita tidak hadir ke sekolah atau pejabat.

Senggugut ini adalah kesakitan yang dialami di bahagian bawah perut atau pelvis ketika datang bulan. Pelvis merupakan tempat di mana organ berikut berada iaitu rahim, ovari (kilang telur) dan salura falopio dan pundi kencing. Senggugut dipanggil dysmenorrhoea dalam bahasa Inggeris. Ia adalah kesakitan yang tercipta kerana haid, apabila otot-otot pada uterus iaitu rahim mengecut untuk mengeluarkan lapisan rahim.

Kebiasaannya, mereka yang datang bulan dan sakit perut senggugut akan turut merasa sakit pinggang, sakit belakang dan juga sakit pada bahagian atas celah peha selain kejang di bahagian bawah abdomen. Sesetengah wanita akan mengalami senggugut yang teruk akan tetapi, anda tidak perlu bimbang kerana ianya adalah normal.

Kadang-kala kekejangan dan sakit senggugut akan berlaku selama dua ke tiga hari. Ia juga mungkin boleh bermula sebelum kedatangan haid sebagai tanda senggugut dan sakit yang amat sangat biasanya akan terasa pada hari pertama datang bulan. Jadi, hari ini saya akan kongsikan tentang punca dan cara untuk mengatasi masalah ini.

Penyebab Sakit Datang Bulan

Senggugut terbahagi kepada dua iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer kebiasaannya berlaku kepada kebanyakan perempuan remaja. Akan tetapi, ianya tidak mempunyai patologi di pelvis dan rahim, setelah pemeriksaan doktor. Ianya berlaku selepasa 6 ke 12 bulan dari akil baligh apabila kitaran ovulasi bermula. Namun, ianya juga boleh berlaku dikalangan wanita yang masih subur.

Zat hormon seperti prostaglandin membuatkan penguncupan pada otot rahim untuk membantu mengeluarkan darah pada setiap bulan. Penguncupan ini dapat menyebabkan rasa sakit di perut ketika haid. Wanita yang memiliki kadar prostaglandin yang tinggi akan mengalami sakit perut ketika haid yang lebih berat.

Manakala senggugut sekunder pula disebabkan oleh patologi di pelvis dan rahim yang kebiasaannya berlaku di kalangan wanita yang lebih berumur dan masih subur. Ianya boleh berpunca daripada penyakit endometriosis (yang dihidapi oleh 5-15% wanita yang mempunyai haid), cyst ovari dan tumor, fibroid (kebengkakan pada rahim), jangkitan ke rahim atau saluran dari rahim ke kilang telur (penyakit radang pelvis), kongenital ataupun alat pencegah kehamilan.

Selain itu juga, beberapa jenis alat kontrasepsi terutamanya intrauterine device (IUD) atau spiral yang diperbuat daripada tembaga dapat meningkatkan rasa sakit perut semasa haid.

Cara Mengatasinya

Cara untuk menghilangkan senggugut teruk dengan cepat dan berkesan boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah sama ada dengan menggunakan ubat yang anda boleh dapati di farmasi dan juga hospital. Ada sesetengah yang mengamalkan cara tradisional dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi.

Kebanyakan wanita pada masa kini sering mengambil pil panadol atau ubat tahan sakit sekiranya mengalami senggugut yang teruk. Namun, terdapat beberapa cara lain yang anda boleh ikuti untuk mengatasi masalah senggugut ini.

Tuaman Panas

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Inilah kaedah yang paling mudah dan paling berkesan untuk anda menghilangkan senggugut. Melalui tuaman panas, otot-otot yang sedang menguncup akan menjadi lebih relaks. Tuaman panas ini bukan sahaja boleh dipakai di rumah, akan tetapi di pejabat, kelas atau di mana-mana. Tuamkannya di sekitar perut, pinggang atau punggung anda. Keluarkan sedikit wang untuk membeli beg tuaman panas ini. Ianya boleh didapati di farmasi.

Minum Air Suam

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Selain daripada menggunakan tuaman panas, anda juga boleh minum air suam untuk melegakan serta menenangkan otot yang sedang kejang. Air suam mempunyai banyak kelebihan dari segi kesihatan seperti dapat membuang toksin dan juga membantu melancarkan peredaran darah. Di samping itu juga, ia memberikan tenaga dan mampu untuk mengelakkan anda daripada memakan snek yang tidak berkhasiat kerana secara tidak langsung ianya memberi kesan ‘penuh’ pada perut anda.

Aktifkan Diri

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Anda juga dinasihatkan untuk mengaktifkan diri ketika mengalami senggugut ini. Sekiranya anda asyik berkurung dalam bilik kerana menahan sakit, anda akan cenderung merasakan emosi yang negatif. Stres akan memburukkan lagi keadaan senggugut anda akibat penghasilan hormon yang tidak seimbang.

Oleh itu, cuba anda sibukkan diri dengan membuat kerja-kerja rumah, beriadah, bersosial dengan kawan-kawan ataupun melakukan senaman ringan. Banyak bergerak seperti olahraga ataupun jogging boleh membantu badan untuk membuang hormon endorphin yang mampu meredakan kesakitan dan gejala kejang dalam perut. Dengan beriadah jugan anda sekaligus dapat mengeluarkan peluh serta mengurangkan berat badan.

Jaga Pantang

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Untuk menghilangkan senggugut dan mengelakkannya daripada menjadi lebih teruk, terdapat beberapa makanan yang mampu menjadikannya lebih baik dan juga sebaliknya. Anda perlu mengelakkan daripada memakan makanan yang berproses dan berminyak, gula dan garam berlebihan, minuman berkafein dan snek yang tidak berkhasiat.

Kopi mempunyai kafein yang boleh meningkatkan tekanan darah yang menjadi punca kejang dalamperut. Minuman bergas pula dikatakan sangat tajam dan boleh menyebabkan usus perut terluka kerana semakin menipis akibat minuman bergas.

Anda juga perlu memperbanyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang berserat tinggi seperti mengamalkan diet yang seimbang. Sekiranya anda teringin memakan coklat, carilah dari sumber coklat gelap yang kurang manis. Snek seperti buah-buahan kering dan kekacang juga sesuai kerana ianya berprotein tinggi.

Selain itu, ikan salmon juga elok untuk mengurangkan rasa panas dalam perut kerana ianya mengandungi omega 3 yang sangat tinggi. Ia juga salah satu makanan yang berprotein tinggi untuk menghilangkan kekejangan dalam perut.

Aroma Terapi

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Aroma terapi merupakan salah satu cara yang terbaik untuk mengalihkan perhatian anda yang sedang merasakan kesakitan ketika itu dan memilih wangian seperti lavender yang mampu memberikan ketenangan pada anda dan juga minda anda.

Ambil Herba Dan Suplemen

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Banyak jenis herba yang disyorkan oleh petua orang-orang terdahulu dan ia sememangnya berkesan. Antara yang sering digunakan adalah halia. Caranya, ambil segenggam hali dan tumbuknya sehingga lumat. Kemudian masukkan halia ke dalam segelas air suam untuk dijadikan teh. Selain halia, anda juga boleh meminum teh hijau, madu, jus daun betik ataupun air asamm jawa.

Selain itu, anda juga boleh memakan suplemen yang disyorkan dalam bentuk pil. Kebiasaannya, suplemen ini terdiri daripada magnesium, vitamin D dan juga minyak ikan yang kaya dengan omega 3 seperti pati ikan haruan.

Pil Penahan Sakit

Penyebab Sakit Datang Bulan Dan Cara Mengatasinya

Akhir sekali, anda juga boleh mencuba mengambil ubat penahan sakit. Walaupun ramai yang cuba mengelakkan daripada mengambilnya, kesakitan ini boleh dikawal dengan mengambil pil penahan sakit seperti paracetamol. Menurut doktor, pengambilan pil penahan sakit ini tidak begitu memudaratkan asalkan anda mengambil dengan dos yang betul. Anda perlu tahu bahawa ubat seperti ini tidak berfungsi untuk merawat tetapi hanyalah untk melegakan.