loader image

Autoriti Informasi Wanita

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Seorang Suami Untuk Berpoligami
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Islam adalah agama yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak setiap manusia dalam segala isu termasuklah hidup berpasangan. Oleh kerana inilah Islam membenarkan poligami dan ia merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Islam tidak menentang hidup berpoligami. Akan tetapi, Islam telah menetapkan beberapa syarat tertentu yang mengehadkan amalan bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam telah menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin lebih daripada seorang perempuan tetapi tidak melebihi daripada empat orang dalam satu masa.

Sebahagian pasangan yang sudah berkahwin seringkali merasa takut akan berkemungkinan berlakunya poligami dalam rumah tangga mereka. Sedangkan, poligami itu tidak diharamkan dan sebaliknya hukumnya adalah harus seperti yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran.

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisaa’ : 3)

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Berpoligami sebenarnya sah di sisi syarak. Akan tetapi, berdebatan mengenainya terus diperkatakan akibat daripada segelintir rakyat di Malaysia ini yang sudah berkahwin memilih untuk bernikah di luar negara terutamanya di beberapa lokasi di Selatan Thailand. Ianya seakan-akan perlakuan untuk berpoligami itu tidak boleh dilakukan di dalam Malaysia.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya ramai isteri yang berasa sangsi kepada suaminya terutamanya lelaki yang berkahwin di luar negara. Ini kerana, para isteri menganggapnya sebagai helah untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab.

Sedangkan pernikahan poligami sebenarnya tidak memerlukan kebenaran daripada isteri pertama. Akan tetapi, ia memerlukan kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Semasa memohon kebenaran daripada mahkamah, suami perlu memfailkan permohonan poligami, manakala defendan dalam kes ini adalah isteri pertama.

Sebagai defendan, isteri pertama secara tidak langsung akan dimaklumkan mengenai permohonan poligami tersebut menerusi proses perbicaraan.

Setiap suami yang berhasrat untuk berpoligami perlu menunjukkan serta membuktikan kemampuannya untuk hidup berpoligami. Hal ini yang membuatkan ramai suami bernikah di luar negara secara senyap-senyap kerana undang-undang syariah telah menetapkan suami perlu membuktikan kemampuan mereka untuk berpoligami.

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Jadi, ramai yang memilih untuk bernikah di luar negara kerana pada hakikatnya, mereka tidak mampu untuk berpoligami. Contoh ketidakmampuan adalah seperti, duit bulanan kereta dan rumah dibayar secara kongsi dengan isteri. Ini tidak termasuk sekiranya mereka mempunyai anak untuk ditanggung. Kebiasaannya, permohonan seperti ini tidak akan diluluskan kerana ianya akan memudaratkan isteri.

Terdapat sesetengah kes lain, calon isteri kedua sanggup untuk menanggung kehidupan suami yang kurang mampu itu. Kebiasaannya kes sebegini juga tidak akan diluluskan oleh pihak mahkamah kerana secara amnya, tugas mencari nafkah itu adalah tanggungjawab seorang suami.

Maksud berkemampuan di sini, bukan sahaja berkaitan dengan kewangan malah berkemampuan untuk berlaku adil dengan isteri-isteri mereka terutamanya tentang giliran bermalam di rumah. Kadang-kala hal ini yang membuatkan perkahwinan pertama akhirnya berkecai. Jadi, setiap suami yang ingin berkahwin lagi, mereka perlu bersedia untuk membahagikan masa mereka sebaik mungkin untuk isteri-isteri dan juga anak-anak.

Akan tetapi, hukum berpoligami boleh berubah menjadi makruh sekiranya ia dilakukan hanya untuk berseronok, sedangkan suami ragu-ragu akan kemampuannya untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Hal ini boleh terjadi kerana poligami itu bukan disebabkan keperluan dan ianya boleh memberikan kesan negatif serta memudaratkan isteri-isteri juga anak-anak disebabkan ketidakmampuan untuk berlaku adil terhadap mereka.

Hukum berpoligami boleh juga menjadi sunat. Contohnya untuk mendapatkan zuriat kerana isteri pertamanya tidak mampu untuk mengurniakan cahaya mata ataupun sakit yang boleh memudaratkan kesihatan isteri ataupun suami mempunyai keinginan yang kuat sehingga isteri tidak mampu untuk melayaninya.

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Sekiranya suami yakin dan mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya zahir dan batin, maka saat itu tidak ada lagi halangan baginya untuk berpoligami.

Namun, hukum berpoligami juga boleh menjadi haram sekiranya suami berhasrat untuk berpoligami dan berasa yakin bahawa dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Hal ini boleh berlaku akibat kemiskinan, kelemahannya ataupun tidak yakin dirinya sendiri dapat mengawal segala kecenderungan dan sifat prejudisnya Hukum poligami pada ketika itu menjadi haram kerana ia memberikan kesan negatif dan kemudaratan kepada orang lain.

Setiap wanita perlu bersifat positif tanpa mementingkan diri sendiri dan bersikap terbuka, bertoleransi serta memahami konsep berpoligami dalam Islam. Suami diharuskan berpoligami untuk menjaga kepentingan semua pihak. Sekiranya kepentingan itu tidak dapat dijaga dengan baik, berpoligami pada ketika itu adalah haram.

Jika isteri pertama hadir ke mahkamah untuk membantu melancarkan proses poligami, dalam masa yang sama isteri boleh menuntut hak yang seharusnya mereka peroleh selain daripada setiap pihak memahami kedudukan masing-masing.

Kebanyakan wanita tidak dapat menerima hakikat bahawa suaminya berhasrat untuk berkahwin lagi kerana istilah bermadu yang sering diperkatakan. Setelah suami berkahwin lain, isteri berkemungkinan akan berasa sedikit terkilan kerana suami tidak berlaku adil ke atas dirinya dan isteri baru.

Poligami Dalam Islam: Hak Kelayakan Suami Untuk Berpoligami

Oleh itu, setiap lelaki yang berhasrat untuk berpoligami, mereka hendaklah memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu berlaku adil. Berlaku adil itu adalah wajib ke atas isteri-isterinya. Adil bukan bermaksud hanya adil terhadap isteri sahaja, malah ianya membawa maksud berlaku adil secara mutlak.

Setiap isteri berhak untuk mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya termasuklah kemesraan hubungan jiwa, pakaian, nafkah makanan, tempat tinggal dan lain-lain lagi. Isteri berhak untuk mendapat giliran suami menginap di rumahnya sama banyak dengan waktu menginap di rumah isteri yang lain.

Namun begitu, ulasan berkaitan tanggungjawab seorang suami berpoligami ini tidak akan memberi jalan penyelesaian sekiranya suami itu sendiri tidak mencuba untuk memperbaiki diri.