loader image

Autoriti Informasi Wanita

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Setiap kali tibanya bulan Ramadhan, pasti anda akan mendengar alasan sama yang akan diberikan seperti gastrik dan tidak boleh tahan lapar sedangkan berpuasa merupakan ibadah dan Rukun Islam ketiga yang wajib dilakukan bagi semua umat Islam yang baligh, berakal dan dan bebas dari uzur Syarie.

Akan tetapi, apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Adakah benar gastrik akan membataskan seseorang itu untuk menunaikan ibadah puasa? Rukhsah berpuasa di dalam Islam untuk orang yang sakit adalah sekiranya seseorang itu mampu berpuasa, diwajibkan berpuasa baginya, tetapi sekiranya ianya boleh memudaratkan dirinya, maka dia dibolehkan berbuka puasa.

Gastrik secara umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan juga ulser perut pada lapisan sel yang lebih dalam dan ianya lebih teruk berbanding gastritis. 80% penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut iaitu helicobacter pylori manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

Secara semulajadinya, sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang berfungsi untuk mencernakan makanan. Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi. Jadi, hari ini saya akan kongsikan tips untuk mengelakkan masalah gastrik di bulan puasa supaya anda dapat berpuasa dengan tenang.

Makan Sedikit Demi Sedikit

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Kadang-kadang sakit perut ketika berpuasa ini bukanlah disebabkan gastrik, tetapi kerana tabiat makan seseorang itu ketika berbuka. Makanlah sedikit demi sedikit secara berperingkat ketika berbuka supaya perut anda tidak ‘terkejut’ setelah berehat seharian. Seeloknya, berbukalah dengan makan makanan yang ringan seperti kurma, air kosong, buah-buahan ataupun sup rendah lemak. Berehat seketika untuk menunaikan solat Maghrib kemudian barulah mengambil makanan berat.

Tidak Berbuka Terlalu Berat

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Ketika berbuka puasa, kebiasaannya ramai yang memulakan suapan dengan makanan berat dan bersifat kompleks kerana seharian tidak makan. Hal ini boleh menyebabkan masalah ketidakhadaman. Karbohidrat daripada nasi putih akan cepat bertukar ke bentuk gula (tenaga). Sekiranya anda mahu makan nasi putih, pastikan kuantitinya sama banyak dengan sayur yang berfungsi sebagai penapis untuk melambatkan proses penukaran karbohidrat ke gula.

Makan Makanan Yang Mengandungi Sulfur

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Kebanyakan individu beranggapan bahawa serangan gastrik ini akan lebih kerap berlaku pada bulan puasa kerana apabila tiada makanan, tahap keasidan dalam perut akan bertambah. Anggapan ini kurang tepat. Ini kerana, ketika berpuasa, keseluruhan sistem penghadaman akan berehat. Ini bermakna rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun, bermaksud semasa berpuasa, perut akan kosong. Maka, asid perut itu tidak akan keluar dengan banyak dan menghakis perut yang kosong.

Jadi, seharusnya, tidak akan timbul masalah sakit ataupun senak akibat daripada keasidan perut yang tinggi. Sebaik-baiknya, perbanyakkan pengambilan makanan yang mengandungi sulfur seperti brokoli, kubis dan juga bawang putih.

Elakkan Minum Minuman Yang Berkafein Ketika Berbuka

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Elakkan daripada minum minuman yang berkafein ketika berbuka. Contohnya adalah seperti kopi, teh atau nescafe. Ini adalah kerana ia mengandungi kafein yang merupakan perangsang saraf yang menyebabkan kelenjar jus gastrik di perut menjadi lebih aktif. Walau bagaimanapun, ianya boleh di ambil selepas solat terawikh bukan semasa berbuka puasa.

Elakkan Makanan Yang Tinggi Lemak

Elakkan makan makanan yang kompleks dan mendatangkan kepedihan pada perut seperti makanan yang berlemak, masam, berempah, pedas, berminyak dan bergoreng. Ini kerana ianya akan menjejaskan kelancaran sistem pencernaan dan tidak hairanlah sekiranya ramai yang mengadu sakit perut setelah berbuka puasa. Sebaik-baiknya ambillah lauk atau juadah berbuka puasa yang rendah lemak.

Jangan Tinggal Sahur

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Bersahur merupakan sunnah Rasulullah SAW. Sahur dengan cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kerana ianya boleh mengurangkan risiko komplikasi. Makanan berkarbohidrat sangat perlahan dalam mencerna makanan. Jadi, ianya elok untuk dimakan ketika sahur supaya makanan tahan lebih lama, membuatkan anda kurang lapar dan lebih bertenaga untuk menjalani hari tersebut.

Makan Secara Sederhana

Sekiranya ada orang mengadu sakit perut ketika lapar, ianya menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut. Akan tetapi, sekiranya anda sakit perut selepas makan, ianya berkemungkinan menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah. Jadi, anda perlu makan secara sederhana dan secukupnya dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Seelok-eloknya, berhenti makan sebelum anda kenyang.

Elakkan Merokok Dan Pengambilan Ubat

Merokok sememangnya tidak elok untuk kesihatan tubuh badan. Merokok banyak dikaitkan dengan gastritis dan penyakit ulser peptik. Selain itu, merokok juga boleh melambatkan penyembuhan ulser yang sedia ada dan akan menyumbang kepada ulser berulang. Hal ini boleh menyebabkan pencernaan terganggu dan refluks asid untuk pesakit gastrik.

Selain itu, pengambilan ubat-ubatan juga boleh membawa kepada gastrik. Jadi, elakkan pengambilan ubat-ubatan yang boleh memedihkan lapisan perut.

Lebih Berjaga-Jaga

Sekiranya anda kelihatan letih, lesu dan pucat kerana komplikasi gastritis, ianya adalah kerana pendarahan dalam perut serta kekurangan zat besi untuk pembentukan hemoglobin (darah merah). Kandungan mendapati bahawa kandungan asid paling tinggi adalah pada waktu tengah hari. Jadi, sekiranaya anda mengalami sakit ulu hati yang teruk pada waktu itu, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor kerana puasa anda mungkin akan memudaratkan.

Kawal Emosi Anda

Tips Mengelakkan Masalah Gastrik Di Bulan Puasa

Berpuasa sememangnya mencabar keimanan dan kesabaran anda. Ketika di awal bulan puasa, badan anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan tidak makan dan minum di waktu siang. Kebiasaannya, badan anda akan meragam pada tiga hari terawal, akan tetapi akan kembali normal selepas itu. Apatah lagi bagi penggemar kopi yang selalu melalui simptom ‘coffee withdrawal’.

Apabila emosi anda terganggu, ianya akan memburukkan lagi gastrik anda. Jadi, apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menarik nafas, rehatkan minda anda dan sibukkan diri dengan kerja.

Halia Dan Cuka Epal

Halia dapat membantu melawaskan perut dan melepaskan angin gastrik di dalam perut. Oleh itu, anda boleh cuba mengamalkan mengunyah halia segar selepas berbuka dengan makanan. Ataupun, anda boleh merebus halia bersama air sehingga mendidih, sejukkan dan minum sebelum waktu tidur.

Cuka epal pula adalah alternatif lain yang anda boleh amalkan untuk merawat gastrik kerana ianya boleh melegakan perut kembung. Campurkan dua sudu besar cuka epal bersama air suam dan sejukkan terlebih dahulu. Kemudian, minum perlahan-lahan dan rasailah keberkesanannya.

Itulah dia sedikit sebanyak tips yang anda boleh amalkan untuk mengelakkan masalah gastrik ketika di bulan puasa. Gastrik bukanlah penyebab untuk anda mengabaikan puasa wajib anda. Selagi ianya tidak memudaratkan kesihatan anda, anda wajib untuk berpuasa. Dengan niat yang betul, inshaAllah puasa anda akan dipermudahkan.