loader image

Autoriti Informasi Wanita

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita

Pemakaian sangat penting ketika anda ingin menghadiri temuduga. Ini kerana, saat anda masuk sahaja ke bilik temuduga dan sebelum anda mula bersuara, penemuduga sudah meneliti cara berpakaian anda. Cara berpakaian ini juga sebenarnya boleh menunjukkan personaliti dan layar belakang anda. Oleh itu, anda perlu menyediakan pakaian formal dan sesuai ketika ingin menghadiri temuduga.

Cara berpakaian ini lebih powerful dari kata-kata kerana ia boleh menunjukkan diri anda yang sebenarnya. Mungkin anda merasakan ianya seperti terlalu awal untuk menilai sebelum temuduga berlangsung. Akan tetapi, kajian menyatakan bahawa untuk first impression 15% yang tertonjol daripada luaran kita adalah penilaian tentang kredibiliti diri. Manakala, 85% lagi hanya akan kelihatan dan dinilai selepas mereka mengenali diri anda dalam tempoh yang lama.

Setiap syarikat ataupun organisasi memiliki kod pakaian masing-masing. Ada sesetengah memerlukan anda untuk sentiasa berpakaian formal manakala ada yang membolehkan ada untuk berpakaian kasual untuk waktu-waktu tertentu. Walau bagaimanapun, cara berpakaian ketika bekerja dan temuduga mempunyai sedikit perbezaan. Jadi, kali ini saya akan kongsikan tentang tips memilih pakaian yang sesuai untuk temuduga.

Secara umumnya, calon wanita mempunyai dua pilihan pakaian untuk menghadiri temuduga iaitu memakai baju kurung ataupun memakai satu kemeja/blouse bersama skirt atau seluar beserta blazer. Terdapat beberapa ciri yang anda perlu ambil tahu sekiranya anda memilih untuk memakai pakaian ini ketika temuduga.

Baju Kurung

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita

Buju kurung merupakan pakaian yang sesuai dan selamat untuk dikenakan ketika menghadiri temuduga. Namun, anda perlu mengikuti panduan baju kurung yang betul untuk mendapatkan first impression yang baik. Baju kurung yang sesuai dipakai adalah sama ada kain plain, berjalur ataupun bertekstur. Elakkan daripada memakai baju kurung yang bercorak dan berbunga, yang mempunyai cetakan binatang ataupun corak yang terlalu besar.

Selain itu, pakailah baju kurung yang diperbuat daripada fabrik suiting yang dapat membuatkan baju kurung tersebut kelihatan terletak kemas dan rapi ketika anda memakainya. Antara fabrik yang sesuai adalah fabrik linen, sb line, thai silk dan juga kapas.

Elakkan daripada memakai baju kurung yang diperbuat daripada fabrik nipis, lembut dan beralun-alun seperti shifon dan satin. Ini kerana, wanita yang memakai pakaian dari fabrik ini akan menunjukkan personaliti yang lemah gemalai, manja, manis dan tidak tegas. Karakter sebegini boleh mengurangkan kredibiliti anda terutamanya jika anda memohon jawatan dalam pengurusan tertinggi.

Anda juga perlu elakkan memakai baju kurung yang mempunyai terlalu banyak warna. Jumlah warna baju kurung anda secara keseluruhan hendaklah tidak lebih daripada tiga warna kerana ia akan menyebabkan penampilan anda nampak serabut dan terlalu meriah sehingga mengganggu fokus temuduga. Elakkan juga daripada memakai baju kurung yang berwarna terang, sebaliknya pakailah baju kurung yang bertona lembut atau gelap.

Hindari juga daripada memakai baju kurung berpotongan ketat dan sendat sehingga mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya pada tubuh wanita. Baju kurung yang terlalu banyak aksesori dan hiasan seperti manik dan lace juga perlu dielakkan. Pakaian yang bersinar juga tidak digalakkan untuk dipakai kerana ianya akan mengganggu pandangan penemuduga.

Pakaian Formal Kemeja/Blouse Dan Seluar/Skirt Beserta Blazer

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita

Sekiranya anda memilih untuk memakai pakaian formal ketika menghadiri temuduga, suit anda perlulah ringkas dan terdiri daripada warna-warna neutral seperti kelabu, navy blue, coklat, hitam ataupun krim. Manakala, suit (blazer, skirt atau seluar) yang sesuai untuk dipakai adalah yang plain, berjalur ataupun bertekstur halus.

Hindarkan daripada memakai suit yang ketat, sendat dan pendek. Pakaian yang terlalu ketat akan menampakkan bentuk badan dan akan menjatuhkan kredibiiti dan maruah calon wanita yang ditemuduga. Selain itu juga, elakkan memakai kemeja atau blouse yang singkat di atas paras punggung sehingga bahagian-bahagian tertentu terdedah. Jadi, pilihlah blouse atau kemeja yang berpotongan konservatif.

Elakkan daripada memakai potongan blazer dan blouse yang terlalu fancy dan berfesyen. Memakai pakaian yang terlalu berfesyen ke temuduga akan mengurangkan kredibiliti anda sebagai seorang yang berwibawa kerana ianya akan menunjukkan anda seorang yang terlalu mementingkan fesyen. Ianya juga menunjukkan anda terlalu manja dan tidak tegas.

Penggunaan skirt atau seluar anda hendaklah berwarna gelap dari kumpulan warna-warna korporat seperti hitam, navy blue, kelabu dan coklat. Elakkan daripada memakai skirt yang berpotongan kembang di bawah. Bagi non-muslim yang ingin memakai skirt, pakailah skirt yang labuhnya menutupi paras lutut.

Pastikan juga, potongan skirt atau seluar anda longgar, tidak ketat serta tidak menunjukkan bentuk paha dan betis anda. Akan tetapi, elakkan daripada memakai skirt potongan kembang dan terlalu labuh sehingga ianya meleret dan mencecah lantai. Pakai skirt atau seluar yang diperbuat daripada fabrik suiting supaya ia kelihatan terletak kemas ketika memakainya.

Aksesori

Tips Penting Memilih Pakaian Formal Untuk Interview Bagi Wanita

Selain daripada pakaian formal yang sesuai, anda juga perlu berhati-hati dalam pemilihan kasut, aksesori, tudung dan jenis solekan supaya tidak nampak terlalu over ketika menghadiri temuduga. Elakkan daripada memakai aksesori yang besar, berbunyi, berkilauan dan bergerak-gerak kerana ianya akan mengganggu anda dan juga penemuduga ketika sesi temuduga sedang berlangsung. Pastikan tudung yang anda pakai terletak kemas dan tidak bergerak-gerak.

Solekan yang sesuai ketika temuduga adalah solekan yang ringkas, minimum, kemas, dan tidak keterlaluan. Pemakaian solekan ini hanyalah sekadar untuk menutupi muka yang pucat sekiranya tidak memakai sebarang solekan. Bagi non-muslim yang memakai pengilat kuku, pastikan warna yang anda pakai tidak terlalu terang dan berwarna-warni.

Di samping itu, pastikan anda memakai pump shoes atau kasut kerja ketika menghadiri temuduga. Kasut anda seharusnya konservatif, bertutup di bahagian hadapan dan belakang. Pastikan kasut anda berwarna gelap dan bertumit rendah tidak melebihi 5.5 inci. Elakkan memakai kasut yang boleh menampakkan jari kaki atau bahagian belakang kaki.

Bagi yang tidak memakai tudung dan juga non-muslim, pastikan rambut anda bersih, kemas dan disikat rapi. Pastikan anda memakai deodorant dan sedikit minyak wangi untuk menutup bau badan anda. Jangan pakai minyak wangi terlalu banyak kerana ianya juga boleh mengganggu orang yang menemuduga anda.

Akhir sekali pastikan anda masuk ke bilik temuduga dengan penuh senyuman, keceriaan dan keyakinan di muka anda. Perkara visual sebegini akan mencerminkan semangat dan komitmen dalaman anda kepada syarikat tersebut. Walau bagaimanapun, penampilan hanyalah sebahagian daripada faktor yang akan membantu anda untuk berjaya dalam temuduga. Pastikan juga anda sudah bersedia dengan kelayakan, ilmu dan pengalaman supaya penemuduga memilih anda.