loader image

Autoriti Informasi Wanita

Tuntutan Harta Sepencarian Selepas Kematian Pasangan

Tuntutan Harta Sepencarian Selepas Kematian Pasangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest

Tuntutan Harta Sepencarian Selepas Kematian Pasangan

Tuntutan harta sepencarian diiktiraf di Malaysia oleh Undang-undang Keluarga dan Islam di setiap negeri dan ianyaboleh dituntut atas sebab berlakunya perceraian, poligami ataupun kematian pasangan. Akan tetapi, dalam kes tuntutan harta sepencarian selepas berlakunya kematian pasangan, ianya masih terdapat sedikit kekeliruan khususnya dari segi penentuan mengenai siapa yang lebih berhak membuat tuntutan, prosedur mahkamah, kaedah pembuktian, cara pembahagian serrta jenis hatra yag boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Jadi, di sini saya akan kupaskan untuk mengenalpasti proses tuntutan harta sepencarian dalam kes kematian dengan memberikan penekanan kepada amalan Mahkamah Syariah dalam memutuskan kes-kes yang sebegini. Tuntutan hak sepencarian daripada pasangan si mati bukan sahaja diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam malah ianya suatu amalan yang selari dengan tuntutan syarak dalam menegakkan keadilan.

Harta sepencarian merupakan antara hak yang boleh dituntut oleh suami atau isteri selepas berlaku perceraian ataupun selepas berlaku kematian salah seorang daripada mereka. Tuntutan harta sepencarian selepas kematian agak merumitkan kerana ia melibatkan harta pusaka dan pertikaian antara waris.

Hukum syarak telah menetapkan bahawa apabila seseorang meninggal dunia, hartanya akan dibahagikan mengikut cara pembahagian tertentu. Secara lazimnya, ianya dibahagikan melalui pembahagian faraid. Namun begitu, sebenarnya terdapat beberapa peringkat dalam menguruskan harta pusaka sebelum boleh dibahagikan mengikut sistem faraid kepada para waris yang berhak.

Peringkat pertama, harta pusaka hendaklah terlebih dahulu digunakan untuk melangsaikan segala hutang-piutang yang masih belum dibayar oleh arwah suami berkenaan. Contohnya, sekiranya arwah suami ada meninggalkan rumah atau kereta yang masih terhutang dengan bank. Hutang-hutang ini perlu dijelaskan terlebih dahulu dengan menggunakan harta peninggalan arwah suami tersebut. Sekiranya arwah suami ada berhutang dengan isterinya, sebagai contoh, nafkah tertunggak dan sebagainya, ini juga perlu dilangsaikan terlebih dahulu.

Peringkat kedua pula, harta pusaka tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan pengurusan jenazah dan pengebumian arwah suami. Untuk peringkat ketiga, barulah pembahagian harta sepencarian. Isteri hanya akan menerima bahagian harta sepencarian bergantung kepada bentuk sumbangannya dalam memperoleh harta tersebut sama ada sumbangan secara langsung iaitu sumbangan kewangan atau sumbangan secara tidak langsung iaitu sumbangan dari segi tenaga usaha.

Sekiranya isteri mengeluarkan wang untuk mendapatkan harta tersebut, dia berhak untuk mendapat sebahagian daripada harta itu sebagai harta sepencarian bergantung kepada jumlah wang yang telah disumbangkan. Sekiranya isteri tidak mengeluarkan wang dalam memperoleh harta tersebut, sebaliknya menyumbang dari segi tenaga usaha, contohnya dengan mengusahakan sebidang tanah, dia berhak mendapat sebahagian nilai harta itu. Akan tetapi, bahagian yang dia berhak dapat lebih kurang berbanding bahagian yang diberi kepada pihak yang menyumbang dalam bentuk wang.

Pembahagian harta sepencarian ini tidak mengambil kira faktor sama ada si isteri kepada arwah suami bekerja atau tidak sepanjang tempoh perkahwinannya. Walaupun si isteri bekerja, dia masih berhak mendapat bahagiannya di bawah kaedah pembahagian harta sepencarian seperti yang diterangkan di atas.

Peringkat keempat pula, harta peninggalan pasangan akan dibahagikan mengikut wasiatnya sekiranya ada. Tetapi jumlah harta yang boleh diwasiatkan adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalannya sahaja.

Akhir sekali, harta pusaka yang masih berbaki akan dibagikan mengikut sistem faraid, di mana waris-waris arwah berhak mendapat bahagian tertentu, iaitu seperlapan jika mempunyai anak atau seperempat jika tiada anak. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan;”

Surah An-Nisaa’ : 32

Walaupun terdapat peruntukan hak harta sepencarian bagi pasangan suami isteri di dalam setiap Enakmen atau Akta Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia, peruntukan secara khusus tuntutan harta sepencarian selepas kematian tidak termaktub secara jelas dalam mana-mana Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia.

Tetapi, ianya terkandung dalam Amalan Arahan No. 5 Tahun 2003 JKSM yang menyatakan bahawa waktu tuntutan harta sepencarian ini boleh dilakukan sama ada semasa tuntutan penceraian, selepas penceraian atau selepas kematian.

Untuk menguatkan lagi kedudukan tuntutan harta sepencarian selepas kematian, beberapa buah negeri yang telah mengeluarkan fatwa keharusan membuat tuntutan tersebut selepas kematian salah seorang pasangan. Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 18 April 2005 menjelaskan:

  1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sebelum difaraidkan, termasuk selepas dilepaskan tanggungan si mati
  2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak
  3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah

Orang yang berhak menuntut harta sepencarian selepas kematian adalah suami atau isteri si mati kerana ia adalah hak mereka berdua. Mahkamah Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berpendapat bahawa harta sepencarian merupakan hak eksklusif antara suami dan isteri.

Ianya telah dijelaskan daripada takrif harta sepencarian yang berkaitan dengannya dalam enakmen yang membawa pengertian bahawa ia merupakan harta yang diperoleh bersama-sama suami isteri, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Oleh itu, hanya suami atau isteri yang berhak menuntut dan mendapat harta sepencarian.

Jika anda masih kurang jelas dengan penjelasan yang telah diberikan dan inginkan penjelasan yang lebih secure tentang soal hak harta sepencarian selepas kematian pasangan, anda boleh ke https://1001masalah.com